KUALA LUMPUR: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menafikan dakwaan bahawa Datuk Jerry Ambuting Mohd Said masih memegang status Ahli Kehormat dan Ahli Bersekutu RELA (AKBR), seperti yang tular melalui beberapa laporan media.
Dalam satu kenyataan, RELA berkata semakan rekod rasmi menunjukkan pangkat AKBR yang diberikan kepada Jerry pada 22 Jan 2011 telah tamat tempoh pada 22 Jan 2014, dan tidak pernah diperbaharui selepas itu.
“Justeru, RELA menafikan individu berkenaan masih memegang status AKBR. Sebarang kenyataan peribadi yang dibuat atas nama RELA tidak mempunyai kaitan dengan jabatan,” menurut kenyataan tersebut.
RELA turut menegaskan bahawa tiada individu luar dibenarkan mengeluarkan kenyataan media menggunakan nama jabatan tanpa kelulusan pengurusan tertinggi.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan beberapa portal semalam yang memetik Jerry sebagai “Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat RELA Sabah” dalam dua artikel berkaitan tuntutan Sabah terhadap janji Persekutuan berhubung 40 peratus hasil negeri.
