KOTA KINABALU: Marni Roszdi, 23, anak nelayan dari Kota Marudu, membuktikan bahawa tiada halangan untuk menimba ilmu.
Beliau baru sahaja menamatkan pengajian di Fakulti Perhutanan Tropika, Universiti Malaysia Sabah (UMS), walaupun datang dari keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.
Ketika menerima tawaran UMS, keluarganya bimbang tentang yuran pengajian.
“Rumah kami tiba-tiba senyap. Ibu bapa risau bagaimana nak tampung kos saya,” kata Marni.
Namun, ayahnya berjanji akan “melawan ombak” demi memastikan impiannya tercapai.
Cabaran bertambah ketika pandemik COVID-19.
Pendapatan keluarga merosot, tetapi Marni tetap tabah bekerja sebagai Sukarelawan Bilik Gerakan COVID-19 UMS dengan elaun RM20 sehari.
Walaupun kecil, ia sangat bermakna bagi seorang pelajar luar bandar.
Di universiti, Marni aktif dalam unit beruniform SISPA dan pelbagai aktiviti, sambil mengekalkan PNGK 3.0 ke atas selama lapan semester.
“Hari ini saya berdiri sebagai graduan hasil doa mama dan titik peluh bapa,” katanya sebak.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, memuji ketabahan Marni.
Beliau berkata, “Kejayaan bukan tentang kemewahan, tetapi usaha, keberanian dan doa keluarga. Kisah Marni wajar menjadi inspirasi semua pelajar Sabah.”
