KOTA KINABALU: Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai, dikebumikan di Makam Pahlawan dalam dalam perkarangan Masjid Negeri Sabah, jam 11.45 pagi ini.
Antara yang hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; dan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sakaran, 91, meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah dan 12 orang anak.
Jenazah tiba di perkarangan Makam Pahlawan pada jam 11.15 pagi sebelum urusan pengebumian selesai kira-kira 30 minit kemudian.
Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi tadi akibat jangkitan COVID-19.
Perkara terbabit disahkan anak ketiganya, Datuk Seri Nasir Sakaran, pagi ini. Laporan Berita Harian hari ini.
Sakaran dimasukkan ke sebuah hospital swasta sejak 18 Ogos lalu akibat jangkitan COVID-19.