KOTA KINABALU : Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengambil langkah untuk menambah bilangan Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Queen Elizabeth II kini berfungsi sebagai Pusat Jantung Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, langkah ini penting bagi memastikan pusat berkenaan dapat beroperasi pada tahap optimum.
Katanya, jawatan ini sangat kritikal bagi menjamin keberkesanan serta kelancaran pelaksanaan pelbagai prosedur kepakaran jantung di hospital tersebut.
“Antara prosedur kompleks yang dilaksanakan oleh Penolong Pegawai Perubatan termasuk Transthoracic Echocardiogram (TTE), Exercise Stress Test Echocardiogram.
“Selain itu Pacemaker Interrogation serta Advanced Haemodynamic Intracardiac Monitoring.
“Mereka juga terlibat dalam Adjunctive Invasive Cardiovascular Procedures dan Electrophysiological Studies (EPS), yang memerlukan kepakaran dan latihan khusus,” katanya di sini semalam.
James berkata, beliau menekankan tanpa penambahan perjawatan yang mencukupi, perkhidmatan kepakaran jantung akan berdepan kekangan sumber manusia.
“Peningkatan jumlah perjawatan ini bukan sahaja akan memperkukuh sistem kesihatan negeri, malah memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Sabah, khususnya mereka yang memerlukan rawatan jantung pakar.
“Sabah tidak boleh ketinggalan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi kepada penduduknya,” jelas james.