KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mesti berhati-hati dengan keputusan membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka, mulai 3 Oktober ini kerana kadar jangkitan harian COVID-19 masih tinggi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun prosedur operasi standard (SOP) akan diperketat, keselamatan dan kesihatan murid perlu jadi keutamaan.
“Kita mahu kerajaan sangat berhati-hati dalam perkara ini. Ini membabitkan soal keselamatan anak-anak dan warga pendidik kita.
“Jangan sesekali mengambil risiko yang kita tidak pasti. Tidak perlu terburu-buru sekali lagi. Elakkan kesilapan lama berulang,” katanya dalam kenyataan di media sosial, laporan Berita Harian hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sesi persekolahan secara bersemuka tetap dilaksanakan mulai 3 Oktober, selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduk dewasa.
Ahmad Zahid berkata, terlalu banyak perkara perlu diperhalusi kerana sebahagian besar murid sekolah masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.
Katanya, tiada ibu bapa atau penjaga yang sanggup mengambil risiko, dan jika SOP kurang meyakinkan, mungkin ramai enggan menghantar anak ke sekolah.
“Akhirnya, kembali mengundang isu pendidikan.
“Harus dipastikan keputusan dan langkah seterusnya untuk anak-anak kita bermula Oktober ini tepat dan betul. Jangan sudah terhantuk baru tengadah. “Jadikan pengalaman yang lepas sebagai pengukur dalam membuat keputusan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata, pada 26 April lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 23,739 pelajar di bawah umur 12 tahun sudah dijangkiti COVID-19.
Berdasarkan data itu, katanya, KKM mengaku betapa mudah kes merebak di sekolah akibat pergaulan walaupun sudah ada SOP.
“Pada ketika itu kes jangkitan harian di seluruh negara cuma sekitar 2,000 lebih. “Pada hari ini, jangkitan harian lebih 18,000 kes dan masih belum menunjukkan penurunan,” katanya.