KKM baik pulih struktur Kompleks C HQE yang rosak akibat tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil langkah segera membaik pulih Kompleks C, Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu yang mengalami kerosakan struktur akibat tanah runtuh susulan hujan lebat, semalam.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata bantuan kebajikan khas kepada kakitangan terkesan akibat kejadian itu juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, beliau akan turun padang ke Kota Kinabalu, Isnin ini, bagi melihat sendiri keadaan di sana, selain mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Sabah bagi memperincikan tindakan seterusnya yang perlu diambil.

“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan dalam bencana itu.

“Namun beberapa langkah akan diambil termasuk membaik pulih segera oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bantuan kebajikan khas kepada kakitangan yang terkesan akibat kejadian ini,” katanya di Facebook, dilaporan Berita Harian di sini, hari ini.

Khairy berkata, wakilnya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin sudah turun melihat keadaan tanah runtuh di Kompleks C, HQE itu.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan runtuhan seluas 20 meter lebar itu menyebabkan kerosakan struktur bangunan ‘Sleep Lab’ dan Stor Hospital Support Services (HSS).

Katanya, antara bangunan yang terletak dalam kawasan Kompleks C adalah ‘Pain Free Clinic’, ‘Wad Ebola ISO, Wad Geriatrik, Wad tuberkulosis (TB), Wad ID, Palliative, Ex-CRE, Klinik TB serta sebuah kantin hospital.

“Lima bangunan yang berisiko iaitu berhampiran kawasan runtuhan juga sudah dikosongkan, antaranya Stor Ubat dan Penggunaan, Wad Perubatan Kronik, Wad Rehab dan Klinik TB serta ‘Sleep Lab’.