Jangan ketepikan keperluan tenaga di Sabah seperti masa lampau – Madius

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyeru agar keperluan tenaga di Sabah tidak lagi diketepikan dan dipinggirkan seperti yang pernah berlaku pada masa lampau.

Sebagai contoh katanya, Sabah sangat memerlukan gas untuk menjana tenaga elektrik tetapi PETRONAS sebagai pembekal gas utama negara ini sanggup berbelanja RM2 billion semata-mata untuk ‘membawa lari’ gas dari Sabah ke Bintulu bagi memenuhi kepentingan industri Gas Asli Cecair (Liquefied Natural Gas- LNG).

“Bukankah lebih mudah jika meletakkan paip gas daripada Kota Kinabalu ke Sandakan? Tetapi penjanaan tenaga di Sabah melalui gas ini langsung tidak dipedulikan, sehingga hari ini telah terbukti, Sabah menghadapi masalah dalam penjanaan bekalan elektrik.

“Margin Rizab (Reserve margin) yang terlalu rendah menyebabkan catuan elektrik dan gangguan bekalan elektrik masih berterusan.

“Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, reserve margin penjanaan elektrik di Sabah juga sangat rendah berada di bawah paras 12 peratus berbanding 40 peratus di Semenanjung.

“Justeru Tuaran juga ingin bertanya, apakah kesudahan projek Paip Transgas daripada Kota Kinabalu ke Sandakan? Apakah projek ini akan diteruskan? Apa sudah jadi dengan wang yang sudahpun dikeluarkan untuk tujuan projek ini sedangkan projek tersebut tidakpun dimulakan,” katanya.

Madius berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 di Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) turut mempersoalkan status pembinaan Grid Pautan Selatan (Southern Link).

“Bilakah projek ini akan dilaksanakan dan dari manakah peruntukan untuk membina grid tersebut,” soalnya.

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu turut mendedahkan bahawa kegagalan Sabah menggunakan arang batu untuk menjana elektrik pada suatu ketika dahulu bukan sahaja disebabkan adanya tentangan aktivis alam sekitar.

Menurutnya, ia juga disebabkan pertikaian pihak berkepentingan tentang hak pemilikan terhadap Stesen Pembakaran Arang Batu (coal fire station) di Lahad Datu.

“Sedangkan SESB yang merupakan satu-satunya syarikat utiliti milik penuh kerajaan telahpun membuat kajian terhadap stesen jana kuasa ini dan sebenarnya lebih bersedia untuk melaksanakan dan memiliki penjanaan itu dengan sepenuhnya.

“Akhirnya, cadangan membina jana kuasa arang batu berkapasiti 300 Megawatt tersebut dibatalkan.

“Sabah pada ketika itu terlepas peluang menggunakan arang batu untuk menjana elektrik, sedangkan sehingga hari ini 40 peratus penjanaan tenaga di Semenanjung dan sekitar hampir 20 peratus di Sarawak adalah daripada arang batu,” jelas Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.

Ujarnya, rakyat Sabah berbangga kerana menjadi satu-satunya wilayah di Malaysia hari ini yang langsung tidak menggunakan arang batu untuk menjana elektrik.

“Tetapi Sabah jugalah satu-satunya wilayah yang masih mengalami catuan dan Indeks Purata Gangguan Sistem (SAIDI) atau gangguan bekalan elektrik yang tertinggi di Malaysia.

“Tuaran menyokong Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023,” tegas Madius.