TAWAU: Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS) mahu tindakan lebih agresif diambil bagi memastikan Tawau tidak terus dijadikan pusat operasi sindiket penipuan antarabangsa.
Penasihatnya, Mohd Zaki Harry Susanto berkata, siri tangkapan membabitkan sindiket scammer sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan masyarakat tempatan.
Katanya, keadaan itu boleh mencemarkan imej Tawau sebagai bandar perdagangan dan pelancongan utama di pantai timur Sabah.
“Kita tidak mahu Tawau dilihat sebagai syurga scammer atau tempat selamat untuk sindiket penipuan menjalankan operasi mereka,” katanya ketika mengulas penahanan terbaharu sindiket penipuan pelaburan dalam talian di daerah berkenaan.
Beliau pada masa sama memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), yang berjaya membongkar kegiatan sindiket terbabit.
Menurutnya, usaha mengenal pasti dalang utama dan pihak yang memberi perlindungan kepada sindiket perlu diteruskan supaya kegiatan jenayah siber dapat dibendung sepenuhnya.
