Jabatan Air Negeri Sabah perlu selesaikan masalah di pekan Kundasang

KUNDASANG: Masalah bekalan air di Pekan Kundasang perlu diselesaikan dengan segera selaras dengan statusnya sebagai pusat tarikan pelancong utama di negeri ini.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ranau, Taufik Dahalan berkata, masalah air ini sudah berlarutan sejak sekian lama namun sehingga kini belum ada jalan penyelesaian daripada pihak berkuasa.

Katanya, tinjauan awal mendapati tandas awam serta premis perniagaan tidak mempunyai bekalan air bersih sekali gus dilihat membebankan pelancong melawat Pekan Kundasang.

“Jika keadaan ini berterusan sudah tentu akan menjejaskan usaha Kementerian Pelancongan untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong berkunjung ke Kundasang selepas terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 lalu.

“Kita ada menemui beberapa orang pelancong sambil mereka meluahkan rasa kecewa dengan keadaan bekalan air yang berlaku di Pekan Kundasang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pekan Kundasang di sini semalam.

Hadir sama, Naib Pengerusi MPN Peto Galim, Setiausaha PKR Sabah Mustapha Sakmud serta Timbalan Ketua Cabang Ranau Rozlan Biun.

Taufik berkata, Jabatan Air Negeri Sabah perlu mencari penyelesaian jangka masa pendek serta panjang memandangkan bekalan air bersih merupakan keperluan utama masyarakat di daerah tersebut.

“Lebih menyedihkan sepatutnya beberapa Tandas Awam di tengah Pekan Kundasang dibekalkan dengan tangki air sebagai alternatif jika air paip tidak berfungsi bagi kemudian semua masyarakat terutama pelancong,” katanya.