Masyarakat Tionghua perlu pertahankan kebudayaan mereka – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap agar masyarakat Tionghua di Sabah terus menyokong sekali gus membantu dalam membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata, keyakinan sokongan semua rakyat usaha yang diambil kerajaan akan membantu melonjakkan semula ekonomi negeri dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Hajiji Noor menyerahkan replika cek RM200,000 kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) diwakili TC Goh. Gambar: JKM.

Katanya, bukan hanya dalam aspek kebudayaan, malah kerajaan juga akan memastikan pembangunan yang saksama untuk semua komuniti di Sabah.

“Tahun ini, kerajaan menyalurkan sejumlah RM48 juta untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di negeri ini, dan ia adalah peruntukan terbesar yang pernah diluluskan di negeri ini.

“Oleh itu, kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada semua kaum di Sabah termasuk masyarakat Tionghua untuk menganjurkan aktiviti kebudayaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina di Dataran Deasoka, di sini malam tadi.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap toleransi dengan menggalakkan setiap kumpulan etnik di Sabah mempertahankan kebudayaan masing-masing.

“Sejak dua tahun lalu, pandemik COVID-19 memaksa banyak program acara seperti karnival ini dibatalkan. Karnival Tahun Baharu Cina amat bermakna kepada masyarakat Tionghua.

“Kita bersyukur kerana pada tahun ini dapat melaksanakan penganjuran karnival dalam suasana aman, damai dan penuh muhibbah, walaupun secara sederhana,” katanya.

Justeru katanya, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang tidak lama lagi, beliau merakamkan terima kasih kepada masyarakat Tionghua kerana terus memberi kerjasama serta sokongan kepada padu kepada GRS serta kerajaan negeri.