KOTA KINABALU: Taktik seorang lelaki menyeleweng diesel bersubsidi terbongkar selepas ditahan dalam Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di Penampang, baru-baru ini.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Bin Shahidin, berkata suspek berusia lingkungan 30-an itu dikesan melakukan aktiviti mencurigakan ketika mengisi minyak di pam stesen berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mengisi diesel melebihi had yang dibenarkan ke dalam tangki tambahan kenderaan jenis Isuzu Trooper,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi kira-kira 250 liter diesel.
Katanya, semua barangan termasuk kenderaan, pam elektrik dan hos getah turut disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM12,897.35.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan susulan risikan berterusan KPDN bagi membanteras kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di negeri ini.
Kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
