KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu keutamaan diberikan kepada projek keperluan mendesak serta yang boleh dilaksanakan segera bagi memastikan manfaat cepat dapat dinikmati rakyat.
Beliau berkata, tumpuan itu khususnya melibatkan projek di bawah institusi pendidikan dan hospital yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, berdasarkan laporan MyProjek, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melibatkan 1,233 projek atau program.
“Saya mahu pemantauan lebih kerap dilakukan terhadap projek pembangunan bagi memastikan ia tidak mengalami kelewatan.
“Isu pelaksanaan seperti peruntukan, tanah dan utiliti perlu diteliti dan dirujuk kepada saluran yang tepat termasuk agensi pusat serta kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Hajiji berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menekankan pelaksanaan segera projek kecil atau “low-hanging fruit” yang mudah disiapkan dan memberi impak segera kepada rakyat.
“Projek-projek ini perlu dilaksanakan dengan cekap, mengikut jadual dan penuh integriti agar manfaatnya dapat segera dirasai rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2026 adalah kesinambungan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang diteruskan menerusi pelaksanaan SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Katanya, pelan itu memberi penekanan kepada usaha pembasmian kemiskinan, selain memastikan pembangunan inklusif supaya tiada rakyat tercicir.
“Sebahagian besar peruntukan negeri yang mencatat rekod RM12.02 bilion bagi tahun 2026 disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa laporan berkaitan projek yang tertangguh perlu dibentangkan bagi memastikan isu pelaksanaannya dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana kelewatan projek bukan sahaja menjejaskan rakyat, malah boleh meningkatkan kos kepada kerajaan,” katanya.
