KOTA KINABALU: Sekumpulan saintis Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta sejarah apabila menemui spesies kulat baharu menyerupai tanduk yang dipercayai pertama di dunia.
Penemuan itu dibuat di Kawasan Pemuliharaan Danum Valley, Lahad Datu oleh pasukan penyelidik dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) yang diketuai Profesor Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan.
Menurut beliau, spesies yang dinamakan Pleurocordyceps cornusynnemata itu mempunyai ciri unik yang membezakannya daripada spesies lain dalam genus sama.
Kajian tersebut turut diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Phytotaxa, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang kaya dengan biodiversiti.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kejayaan itu membuktikan kepakaran saintis tempatan dalam menerajui penyelidikan bertaraf dunia.
