KOTA KINABALU: Masalah kerosakan jalan raya utama membabitkan laluan Kinabatangan-Telupid sehingga menimbulkan runggutan serta tular di media sosial dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini kerana laluan tersebut termasuk kini dalam projek pelaksanaan dalam Empat Pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur.
Katanya, apabila siap kelak projek ini akan mampu menyelesaikan segala masalah kerosakan yang kerap berlaku terutama dari Batu 32 Sandakan sehingga menghala ke simpang Sapi Nangoh dan ke pekan Telupid.
“Ketika menantikan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun, JKR Sabah akan menggesa agar pihak pemegang konsesi yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan jalan raya agar dapat menyelenggara jalan terbabit mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kita akan turun padang untuk memantau jalan ini berikutan ia merupakan jalan utama untuk dilalui oleh semua kenderaan. Kita sangat memahami masalah yang dihadapi pengguna laluan ini sekali gus berusaha untuk membaiki kerosakan yang serius sehingga menjejaskan keselamatan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis iftar bersama warga Kementerian Kerja Raya di sini kelmarin.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pada masa ini kerajaan tidak bercadang untuk membina semula jalan raya di laluan yang sama berikutan termasuk dalam Projek Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur.
“Penyebab utama kerosakan ini adalah tidak dapat menampung kenderaan berat termasuk lori membawa muatan buah sawit melalui jalan ini. Kita tidak bercadang membina semula berikutan berlaku pembaziran dari segi kos perbelanjaan berikutan sebahagian laluan ini sudah termasuk dalam Projek Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur.
“Penyelesaian jangka masa pendek, kementerian meminta konsesi terlibat memantau serta memperbaiki kerosakan terbabit agar tidak menimbulkan kesukaran kepada pengguna sekali gus mengurangkan aduan dalam kalangan orang ramai,” katanya.
Menurut Bung, adalah menjadi tanggungjawab pihak konsesi dilantik Kerajaan untuk memantau serta memperbaiki keadaan jalan terlibat berikutan sudah terkandung dalam perjanjian yang dipersetujui bersama.
“Kita akan pastikan kerja-kerja pembaikan akan dilakukan oleh pihak konsesi bagi mempastikan keselamatan pengguna melalui jalan ini sentiasa terjamin sekali gus tidak lagi ditularkan dalam laman sosial media,” katanya
Dalam masa sama Bung Moktar menyelar serta kesal dengan sikap netizen yang tidak bertanggungjawab tanpa membuat sebarang penelitian dengan terlalu cepat menularkan isu kerosakan jalan raya di media sosial sehingga beliau menjadi sasaran mereka.
“Kita ingatkan bahawa, tidak semua jalan raya di Sabah dibawah kendalian JKR..Sebahagiannya juga, ada jalan pertanian dibawah jalan pihak berkuasa tempatan, serta beberapa jalan ladang yang bukannya menjadi tanggunjawab sepenuhnya jabatan ini,” katanya.