KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan perlu mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai salah satu jabatan teknikal yang bertauliah di negeri ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar berkata, JKR Sabah terbukti memiliki Jurutera yang bertauliah disamping berpengalaman dalam bidang teknikal namun sehingga kini gagal mendapat pengiktirafan daripada kerajaan persekutuan.
“Saya mahu perkara ini dilihat sepenuhnya oleh kerajaan pusat. Menteri Kerja Raya Persekutuan datangnya dari negeri Sarawak…jangan tumpu hanya di Sarawak, begitu juga Timbalan Menterinya dari Sabah.
“Besar harapkan kita untuk melihat perkara ini diperjuangkan oleh mereka sekali gus mengiktraf JKR Sabah selaku jabatan yang bertauliah dalam mengendalikan kerja-kerja teknikal di negeri ni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang Dipertua Agung di Dewan Rakyat, di sini semalam.
Bung berkata, masalah akan timbul apabila projek yang dikendalikan serta dilaksanakan oleh JKR Pusat bermasalah atau terbengkalai melihat pihak JKR Sabah tidak ada kuasa untuk membuat pemantauan.
“Ini merupakan satu masalah yang perlu diatasi segera. Apabila kita tidak diberikan peranan dan pengiktirafan, bila ada projek kerajaan persekutuan dibawah kendalian JKR Pusat bermasalah, kita tidak dapat berbuat apa-apa…kita terpaksa biarkan. Rakyat akan marah sekali gus menyebabkan kerajaan negeri akan menerima kesannya,” katanya.
Bung juga berharap dibawah Konsep “Keluarga Malaysia” yang diperkenalkan Perdana Menteri Ke-Sembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Sabah akan mendapat perhatian yang lebih dari segi agihan projek pembangunan.
“Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) menyediakan peruntukan untuk pembinaan lebuh raya Pan Borneo. Sebaik BN tewas, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, peruntukan dipotong menyebabkan pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo terbengkalai.
Ini menjadikan Sabah kini berhadapan dengan pelbagai masalah banjir kilat, tanah serta jambatan runtuh kerana sistem jalanraya tidak teratur di negeri Sabah,” katanya.