KOTA KINABALU: Kejayaan kerajaan negeri untuk meyakinkan pelabur bagi tiga sektor fokus utama pertumbuhan ekonomi negeri antara kesan awal hasil pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0: 2021-2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pada 22 Mac lepas, sektor pertanian membuka langkah pemulihan apabila kerajaan negeri menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat pengeluar utama produk-produk berasaskan kelapa.
Katanya, MoU berkenaan untuk membangunkan Projek Penanaman Kelapa Berhasil Tinggi dengan nilai pelaburan RM420 juta dan Kilang Pemprosesan Kelapa di Pitas dengan nilai pelaburan RM200 juta.
“Inisiatif ini akan mewujudkan lebih 3,250 peluang pekerjaan dan tumpuan juga akan diberikan kepada usaha untuk meningkatkan sumbangan sub-sektor tanaman, perikanan dan ternakan dalam pengeluaran produk pertanian.
“Bagi sektor perindustrian, kerajaan negeri akan terus menggalakkan industri berorientasikan eksport dan penggantian import sebagai salah satu langkah memulih dan melonjakkan pertumbuhan sektor berkenaan.
“Kerajaan negeri akan menyediakan pakej insentif pelaburan khas dan memastikan kos pelaburan di negeri ini kompetitif bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (DAP-Elopura) mengenai langkah dan tindakan kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan sosial Sabah sepenuhnya berikutan kesan wabak COVID-19 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Hajiji berkata, di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi SMJ 1.0, kerajaan negeri berjaya menarik beberapa pelaburan dalam sektor pembuatan.
“Satu daripadanya ialah pelaburan baharu bernilai RM4.2 bilion untuk membangunkan industri pembuatan kerajang tembaga (copper foil) di negeri Sabah.
“Kilang ini akan dibina di tanah seluas 400 ekar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan akan beroperasi pada 2023 yang mewujudkan 400 peluang pekerjaan. Perjanjian dengan syarikat berkenaan dimeterai pada 26 Julai lepas.
“Sektor pelancongan, pembangunan Projek Lok Kawi Resort City dengan nilai pelaburan berjumlah RM7 bilion akan mewujudkan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan apabila pembangunan projek ini siap sepenuhnya,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan menyedari industri pelancongan mempunyai rantaian dan impak langsung terhadap pemborong, peruncit dan pembekal makanan, rangkaian hotel sehinggalah petani dan nelayan, manakala di pihak kerajaan pula dari segi cukainya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif, menyelenggara produk dan destinasi pelancongan sedia ada, memperkasa infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan serta meneroka tarikan dan peluang baharu khususnya kepada pelancong domestik memandangkan ketika ini penerbangan antarabangsa agak terhad.
Selain itu jelasnya, bagi memulih dan membangunkan ekonomi secara inklusif, pemetaan nod pertumbuhan utama dikenal pasti.
“Kawasan sempadan yang strategik dan mempunyai potensi juga dilibatkan dalam Pelan Pembangunan SMJ melalui pembangunan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris.
“Pembangunan ini mengambil kira potensi ekonomi yang akan diwujudkan berikutan pemindahan ibu negara Republik Indonesia ke Kalimantan,” katanya.