Hubungan saya dengan Bung Moktar baik, tidak pernah bertelagah – Hajiji

KUDAT: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menolak khabar angin kononnya hubungannya bersama Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta beberapa kepimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah retak.

“Saya nyatakan dengan jelas, memandangkan Bung Moktar ada di sini, kami tidak pernah bertelagah (antara satu sama lain).

“Tidak pernah berlaku salah faham walaupun orang lain cakap tentang kami. Sebenarnya, hubungan saya dengan Datuk Bung serta beberapa pemimpin GRS dan sangat mesra dan semakin lama semakin kuat,.

“Walaupun kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS. Dengan (penjelasan) ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Bung atau Dr Max dan Dr Jeffrey katanya.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penutupan GRS Backbenchers Club di Kudat Golf and Marina Resort di sini semalam.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut menyatakan bahawa beliau sentiasa berhubung dengan Bung Moktar untuk mencari kaedah terbaik memperkasa GRS di Sabah.

“Saya sudah bercakap dengan Bung Moktar, kita perlu melindungi mandat yang diberikan oleh rakyat kepada GRS. Kita ada kurang empat tahun sebelum pilihan raya semula jadi apa yang perlu kita lakukan adalah bekerja keras untuk membawa kemajuan kepada rakyat dan Sabah,” katanya.

Ketua BERSATU Sabah itu berkata  beliau tidak akan menjadi Ketua Menteri tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam GRS.

“Saya faham perkara ini. Oleh itu kita perlu bekerja keras untuk rakyat. Juga tidak perlu berebut kerusi. Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing. Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan,” katanya.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Hajiji berkata, perkara berkaitan calon akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin GRS untuk mencari penyelesaian secara baik, setelah perintah darurat pada pilihan raya kecil itu ditarik balik.

Mengenai isu pendaftaran secara rasmi pakatan GRS, katanya, beliau tidak ragu-ragu jika perkara itu dipersetujui oleh semua komponen dalam GRS.

“Jika ini yang diinginkan oleh semua orang, maka saya akan berusaha untuk memastikan GRS akan didaftarkan secara rasmi,” katanya.