SANDAKAN : Lebih 200 umat Islam hadir menyatakan sokongan terhadap Palestin menerusi Himpunan Solidariti Aman Bersama Rakyat Palestin Peringkat Daerah Sandakan.
Himpunan aman tersebut diadakan di perkarangan Masjid Daerah Sandakan di sini selepas solat Jumaat hari ini.
Tujuan himpunan solidariti itu adalah sebagai tanda sokongan umat Islam di daerah ini terhadap saudara seagama di Palestin.
Dalam masa yang sama, himpunan itu adalah bagi memperjuangkan isu kemanusiaan Palestin disamping memberi kesedaran mengenai isu terkini melibatkan konflik di negara itu.
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sabah yang juga Yang Dipertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid dalam himpunan tersebut mengingatkan semula umat Islam mengenai peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku di Masjid Al-Aqsa yang berada di Palestin dan umat Islam wajib mempertahankannya.
Beliau berkata peristiwa yang berlaku di Palestin bukan isu umat Islam semata-mata, sebaliknya melibatkan isu kemanusiaan.
Himpunan solidariti itu dianjurkan oleh PAS Sandakan dan disertai beberapa badan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Cawangan Sandakan, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Sandakan dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Sandakan.