KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini sebagai ‘Belanjawan Merakyat’ kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus dan teras keutamaan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata intipati Belanjawan 2024 jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan yang menjurus ke arah mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan di negara ini.
“Pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, menjadi tumpuan Belanjawan 2024 ini. Inilah yang saya maksudkan sebagai Belanjawan Merakyat,” katanya.
Terdahulu, Hajiji bersama Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun, menyaksikan pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini.
Hajiji menyifatkan, peruntukan pembangunan untuk Sabah yang berjumlah RM6.6 bilion menerusi Belanjawan 2024 adalah manifestasi dokongan Kerajaan Perpaduan untuk menyeimbangkan pembangunan di antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Katanya, peningkatan peruntukan tahun depan sebanyak RM100 juta adalah juga sebahagian usaha Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik dan mengalu-alukan penyediaan peruntukan itu dan bertekad untuk menjadikannya inspirasi apabila kita membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2024 tidak lama lagi,” katanya.
Katanya, intipati Belanjawan Madani 2024 itu akan diambil kira dan disesuaikan dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi Belanjawan Negeri Sabah 2024 nanti.
Hajiji berkata, Belanjawan 2024, iaitu belanjawan kedua yang dibentangkan Anwar sejak mengambil alih teraju pemerintahan pada 24 November 2022, jelas menunjukkan wilayah Borneo terus digerakkan dalam arus pembangunan negara apabila Sarawak turut diberikan peruntukan berjumlah RM5.8 bilion.
Beliau berkata, dasar fiskal yang lebih baik dan progresif yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 akan membawa impak besar kepada Sabah dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negeri ini dan menarik pelaburan asing.
“Kita melihat dasar yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 ini sebagai amat inklusif, dengan mengambil kira keadaan ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata, Sabah akan terus berusaha memperkasa pertumbuhan bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan.
Sehingga kini, katanya perdagangan Sabah telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, iaitu melonjak naik RM118.1 bilion pada 2022, berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya.
Selain itu, katanya, dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan negeri berupaya membawa masuk lebih RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah di samping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion.
Hajiji juga membayangkan bahawa Belanjawan Sabah 2024 akan turut bersifat merakyat sejajar keutamaan perjuangannya sejak mengambil alih teraju pemerintahan negeri tiga tahun lalu.