HAWANA 2022 manifestasi pengiktirafan institusi kewartawanan Malaysia

KOTA KINABALU: Penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 adalah manifestasi pengiktirafan terhadap institusi kewartawanan di Malaysia secara profesional, kata Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Lichong Angkui.

Beliau berkata HAWANA tahun ini, kali kedua selepas dimulakan pada 2018, adalah wadah bagi mendokong prinsip dan etika kewartawanan sebenar di sebalik rempuhan media sosial di ruang maya tanpa sempadan.

Katanya, institusi kewartawanan di negara ini mampu bertahan dan kekal berintegriti sekalipun menghadapi pelbagai cabaran akibat kemelut politik dan gugatan ekonomi pascapandemik COVID-19.

“Inilah sebenarnya manifestasi HAWANA 2022 yang bukan saja mengiktiraf peranan dan sumbangan wartawan tetapi juga melonjakkan institusi kewartawanan Malaysia ke suatu tahap tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lichong yang juga Anggota Lembaga Pengelola BERNAMA dan anggota jawatankuasa HAWANA 2022 berkata kewartawanan di negara ini umumnya kekal berpegang pada prinsip kebebasan sekali gus menjadikannya sentiasa relevan sepanjang masa.

Beliau berkata sifat pragmatik institusi kewartawanan menjadi landasan terbaik dalam menangani saingan laporan tidak benar atau berita palsu.

“Maka perhimpunan wartawan Malaysia pada HAWANA 2022 di Melaka kali ini menjadi saksi kekuatan institusi kewartawanan di negara ini dalam konteks profesionalisme sebenar,” katanya.

Lichong yang pernah menghadiri Hari Pers Nasional (HPN) di Padang dan Surabaya, Indonesia pada 2018 dan 2019 berkata HAWANA kali ini adalah perhimpunan komuniti wartawan terbesar seluruh negara pascapandemik COVID-19.

Katanya, penganjuran HAWANA dengan pelbagai pengisian berkaitan media dan kewartawanan menjadi simbolik kesungguhan bersama untuk mengangkat darjat dan martabat profesion ini.

“Semestinya peranan besar institusi kewartawanan ini diakui dan diiktiraf sebagai pemangkin agenda pembangunan bangsa dalam negara membangun seperti Malaysia,” katanya, sambil mengalu-alukan kehadiran 17 pemimpin utama media Indonesia ke HAWANA 2022 di Melaka.

— BERNAMA