Selesaikan masalah gangguan bekalan air dan elektrik – LDP

KOTA KINABALU: Pengusaha perkilangan menggesa agar kerajaan memberikan keutamaan terhadap penyelesaian masalah kekurangan bekalan air serta elektri di negeri ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Jimmy Lai berkata, kedua-dua kemudahan asas itu sangat penting bagi menjayakan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Ia juga membolehkan usahawan dapat bergerak selari dengan kerajaan khususnya rancangan terbabit.

“Sehingga hari ini, dari semasa ke semasa masih terdapat beberapa kawasan perumahan, perindustrian utama berhadapan dengan masalah elektrik.

“Walaupun kerajaan negeri sudah bertukar beberapa kali, namun masalah ini masih tidak dapat diatasi sehingga ramai pengusaha termasuk badan bukan kerajaan sering membuat aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, Central Industrial Park di sini khususnya sehingga beberapa hari lalu masih mengalami masalah bekalan air bersih.

Katanya, bekalan air hanya disalurkan pada waktu pagi dan berkurangan apabila tiba pada tengahari. Tekanan air yang tidak kuat telah menyebabkan banyak aktiviti perniagaan terjejas.

“Ramai pengusaha sudah menyimpan bekalan air tetapi ianya masih tidak mencukupi dan tidak ketahui bila masalah air dapat diatasi.

“Usaha kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan di Sabah adalah sangat baik, bagaimanapun, sekiranya kemudahan asas tidak diberikan perhatian sewajarnya, siapa yang sanggup untuk mewujudkan kilang atau premis perniagaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Oleh itu katanya, bagi menarik pelabur untuk datang ke Sabah, kerajaan negeri perlu terdahulu sediakan kemudahan asas yang mampan.

Katanya, kerajaan perlu fahami keperluan mendesak terhadap bekalan elektrik dan air berterusan tanpa gangguan.