Harga barang dijangka kembali stabil awal tahun depan – PM

BERA: Harga barang yang meningkat kini dijangka kembali stabil pada awal tahun depan setelah lebih banyak negara mula membuka sektor ekonomi masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sekatan pergerakan turut dialami oleh negara luar yang mengeksport produk makanan kepada Malaysia sekali gus mengakibatkan penawaran berkurangan.

“Kita ternak ayam tetapi makanan ayam datang dari luar, begitu juga dengan baja dan racun yang diimport dari luar…bila barang sedikit, permintaan banyak, tentu sahaja akan menyebabkan harga naik.

Saya percaya keadaan ini akan beransur pulih apabila sektor ekonomi masing-masing dibuka dan pengeluaran akan kembali normal dan kita jangka Insya-Allah pada awal tahun depan harga kembali stabil,” katanya ketika berucap pada Program Khatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata menyedari rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga barang, kerajaan telah menganjurkan program jualan murah yang menawarkan harga barang yang rendah selain memberi peruntukan dan insentif kepada golongan terkesan.

“Untuk bantu kurangkan beban rakyat, saya dimaklumkan harga barang di program jualan murah menawarkan diskaun 20 hingga 50 peratus selain kita juga beri insentif dan subsidi racun kepada petani…harga barang dijangka pulih awal tahun depan,” katanya.

– BERNAMA