KOTA KINABALU: Orang ramai mempersoalkan harga ayam bulat super di Sabah, khususnya di sekitar bandar raya ini masih pada paras antara RM11.90 hingga RM12 sekilogram, hari ini.
Tinjauan Sabah News Today mendapati, harga kawalan RM11.90 hingga RM11.99 sekilogram dikenakan di kebanyakan pasar raya dan pasar raya besar manakala RM12 sekilogram di Pasar Besar Kota Kinabalu.
Tinjauan pagi tadi mendapat tiada masalah bekalan ayam di pasar raya atau pasar basah sekitar bandar raya ini walaupun subsidi untuk bahan makanan itu akan ditamatkan mulai esok.
Selain itu, pengguna juga mempunyai pilihan untuk membeli keratan ayam segar seperti bahagian paha, dada dan kepak yang harganya lebih tinggi berbanding ayam bulat.