KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah daripada bekas konsesi Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) untuk tujuan pewartaan sebagai rizab perkampungan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata langkah itu bertujuan memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya di kawasan Sipitang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sindumin, Yusri Pungut dalam persidangan DUN Sabah hari ini.
Menurutnya, seluas 39,482 ekar kawasan dalam Hutan Simpan Sipitang telah dikeluarkan pada tahun 2025, manakala 108.72 ekar lagi dikeluarkan pada tahun 2023.
“Jumlah keseluruhan kawasan yang telah dikeluarkan adalah kira-kira 39,590 ekar atau 16,022 hektar,” katanya.
Tambahnya, keputusan itu dibuat selepas sesi libat urus bersama komuniti setempat bagi memastikan tanah yang dikeluarkan memberi manfaat kepada penduduk kampung.
