LAHAD DATU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya mensabitkan tiga kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dengan jumlah denda keseluruhan hampir RM100,000.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata kes melibatkan kesalahan berkaitan bahan terlarang termasuk memiliki, memproses dan menjual ketum serta ubat batuk tanpa lesen Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurutnya, dua kes masing-masing dikenakan denda RM40,000 atau penjara 24 bulan sekiranya gagal membayar, manakala satu lagi kes dikenakan denda RM18,000 atau penjara 15 bulan.
“Ini membuktikan komitmen berterusan BSJN dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata polis akan terus mempergiatkan risikan dan operasi bagi memastikan aktiviti sedemikian dapat dibanteras sepenuhnya.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan bahawa kesalahan di bawah Akta Racun 1952 boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
