30 rumah hangus dalam kebakaran di Sandakan

SANDAKAN: Sebanyak 30 rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Bokara PPH Kampung Karamunting, awal pagi Rabu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.16 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 3.34 pagi.

Komander Operasi, Rosemedian Majid berkata kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 3.5 ekar.

Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan 21 anggota dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM, RELA dan TLDM.

“Pasukan bomba menggunakan tiga aliran sepanjang 500 kaki dengan lima pancutan air bagi mengawal kebakaran,” katanya.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.29 pagi dan kira-kira 100 rumah berhampiran berjaya diselamatkan.

Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.01 pagi selepas keadaan disahkan selamat.