KOTA KINABALU: Halal Hub Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mampu memperkasa industri halal di Sabah.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, segala urusan seperti permohonan sijil halal dan pemeriksaan halal akan dikendalikan oleh MUIS dengan bantuan agensi lain seperti JAKIM.
“Selain itu, ia juga dapat membantu usaha-usaha kecil dalam mendapatkan sijil halal untuk produk mereka, juga dalam bentuk bengkel ataupun kempen kesedaran berhubung pensijilan halal.
“Oleh yang demikian, perasmian pejabat baru Hala Hub MUIS ini selaras dengan hala tuju hal ehwal agama Islam negeri Sabah dalam memperkasakan lagi industri halal di negeri ini,” katanya dalam Majlis Perasmian Pejabat Halal Hub MUIS di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Arifin turut menzahirkan penghargaan kepada pihak MUIS atas kejayaan mewujudkan Halal Hub yang sebelum ini di bawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (Jheains).