SUKAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turun padang meninjau kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sambil menegaskan keperluan penyelarasan segera antara agensi bagi memastikan projek berjalan mengikut jadual.
Beliau melakukan lawatan ke pakej kerja WP25 ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone).
Menurut taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR), projek WP25 sepanjang 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau kini mencapai kemajuan fizikal 12.35 peratus berbanding sasaran asal 15.30 peratus.
Projek bernilai RM269.9 juta itu dijadual siap pada Februari 2028.
Hajiji turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah dan perobohan struktur sedia ada yang menjejaskan kemajuan kerja di tapak.
Beliau berkata kerajaan negeri komited memastikan projek pembangunan strategik itu dipantau rapi demi manfaat rakyat.
