KOTA KINABALU: Kerajaan negeri digesa agar membantu 300 calon Guru Contract of Service (COS) untuk diberi keutamaan berkhidmat di negeri ini selaras dengan konsep Sabah Maju Jaya.
Wakil COS, Awangku Muhammad berkata, setakat ini Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilihat hanya berdiam diri meskipun calon Guru COS Sabah ini sudah dua kali membuat rayuan terbuka agar ada tindakan diambil dalam tempoh terdekat.
“Gerakan Guru COS 2021 Sabah ini sudah berusaha sedaya upaya membuat pelbagai rayuan bagi memohon untuk diberi peluang menjadi warga pendidik di negeri Sabah.
“Ini termasuklah mengadakan perjumpaan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) pada 17 Ogos lalu dan perjumpaan bersama Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) pada 18 Ogos 2022 serta pelbagai sesi dialog bersama pemimpin negeri Sabah.
“Selain itu kami juga berusaha membuat pelbagai rayuan terbuka kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada 1 Julai 2022 dan 12 Ogos 2022 namun tiada tindakan. Mungkin kami beranggapan kerajaan negeri tidak berminat untuk selesaikan masalah ini,” katanya kepada Sabahnewstoday hari ini.
Awangku berkata, mereka adalah anak jati kelahiran Sabah memohon agar dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 Perkhidmatan Kontrak (COS) ambilan khas anak Sabah bagi tahun 2022 untuk menampung kekurangan guru di Sabah.
“Kita sering mendengar masalah kekurangan guru dinyatakan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin pada persidangan Parlimen lalu, iaitu seramai 1,567 kekosongan di Sabah meliputi sebanyak 700 bandar manakala 867 di kawasan luar bandar.
“Pengambilan One Off 2021 sememangnya baik apabila lantikan dibuka kepada 18,702 orang bakal guru. Namun lantikan dibuat hanya seramai 16,381 hingga kini.”
“Masih terdapat 2,321 kekosongan. Daripada 16,381 ini seramai 1,653 Guru Sabah dilantik hanya 1,221 guru (1,104 Tetap dan 117 Guru COS) lapor diri.”
“Setakat ini 432 kekosongan tidak melapor diri. Ini tidak akan diganti dan dibiarkan kosong. Inilah antara faktor menyebabkan kekosongan guru di Sabah masih berlaku.
“Lebih mendukacitakan apabila ada kalangan guru dari Semenanjung tidak melapor diri ke Sabah sekali gus antara penyebab angka tersebut mungkin mencecah ribuan orang,” katanya.
Awangku berkata, alasan diberikan Menteri Pendidikan Malaysia anak Sabah tidak sepadan dengan opsyen menyebabkan lantikan tidak dapat dilakukan adalah tidak tepat.
“Ini kerana 300 calon guru Sabah ini terdiri daripada opsyen Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Pendidikan Khas, Pendidikan Seni Visual dan TVET.
“Realitinya guru-guru One Off dan COS ditempatkan diberi mata pelajaran berbeza oleh pihak pentadbir untuk diajar di sekolah atas alasan kekurangan guru,” katanya.
Menurutnya, Kumpulan Guru COS Sabah 2021 ini memohon sokongan agar kerajaan negeri melalui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membantu sekali gus memberikan ruang untuk mereka berkhidmat di negeri sendiri.