Parti tempatan Sabah dialu-alukan sertai GRS – Hajiji

LAHAD DATU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengalu-alukan parti tempatan menyertai gabungan itu dan bersama-sama memajukan Sabah demi rakyat, kata Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri itu berkata GRS sedia menerima parti politik tempatan kerana percakaran dalam politik tidak akan membawa kepada kebaikan malah boleh mengakibatkan pembangunan negeri terjejas.

Justeru, katanya, parti politik tempatan di Sabah tidak boleh hanya memikirkan kepentingan parti masing-masing sahaja kerana politik memerlukan gabungan dan kerjasama untuk meraih kejayaan seterusnya membawa pembangunan untuk negeri Sabah.

Cukup pengalaman lalu bagaimana kita dilayan dan banyak kerugian, saya yakin GRS akan memastikan tiada satu kaum tercicir pembangunan kerana semua orang Sabah itu adalah sama. Marilah kita memajukan sama-sama Sabah.

“Saya tidak terfikir jadi Ketua Menteri. Apabila pilihan raya negeri dipanggil kita ada kerjasama GRS dan Barisan Nasional (BN)…kerana kita bersatu akhirnya kita menang,” katanya ketika berucap melancarkan GRS Parlimen Lahad Datu, di sini, hari ini.

Hajiji turut berharap pemimpin UMNO dan BN mahu meneruskan kerjasama bersama GRS demi kepentingan negeri dan rakyat Sabah.

GRS dianggotai Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama bersama BN bagi mentadbir negeri ini.

Mengenai soal keselamatan, Hajiji berkata beliau selalu menekankan tumpuan keselamatan di pantai timur Sabah dapat terus ditingkatkan daripada semasa ke semasa, malah telah menyuarakan keperluan di peringkat Persekutuan untuk meningkatkan aset keselamatan di pantai timur Sabah.

“Kita kena jaga isu keselamatan ini lebih rapi, ini penting kerana kita mahu rakyat rasa selamat, kita  mahu tiada gangguan kepada perancangan program kerajaan terutama melibatkan pembangunan untuk rakyat di pantai timur Sabah,” katanya.

— BERNAMA