Hanya GRS boleh bawa pembangunan pesat di Lahad Datu – Hajiji

LAHAD DATU: Pengundi Lahad Datu perlu bijak memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) selepas parti pembangkang tidak boleh mengubah nasib mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setakat ini tidak ada apa yang rakyat boleh harapkan daripada pembangkang sekali gus mereka perlu bertukar serta memilih GRS dalam PRU nanti.

Iklan murah di Sabahnewstoday.

Katanya, semua pemimpin dan ahli-ahli parti komponen GRS Lahad Datu perlu bekerja kuat serta diterjemahkan sokongan dalam memastikan calon GRS menang kerusi di Parlimen Lahad Datu dalam PRU15.

“Selain kerusi parlimen, kita juga perlu memastikan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Lahad Datu yang kini dipegang oleh parti pembangkang juga perlu dimenangi GRS pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Rakyat dan pengundi di Lahad Datu perlu mengubah nasib mereka dengan bijak membuat pilihan pada PRU akan datang,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, hanya Wakil Rakyat daripada Kerajaan sahaja yang dapat membawa pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat kepada Lahad Datu.

Menurutnya GRS akan menerima parti tempatan yang berminat menyertai gabungan itu bersama-sama berjuang bagi memastikan Sabah terus maju dan jaya serta dipimpin oleh gabungan parti tempatan.

“Jika kita sayangkan Sabah, inilah masanya kita bersatu hati dalam GRS. Saya mahu mendengar daripada pemimpin-pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mereka nyatakan bahawa mereka mahu bekerjasama untuk kepentingan negeri Sabah,” katanya.