Hajiji Ketua Menteri pertama adakan semakan Perkara 112D sejak 1970

KOTA KINABALU: Datuk Seri Hajiji Noor merupakan Ketua Menteri Sabah pertama sejak 1970 yang mengadakan semakan Perkara 112D yang betul dengan Kerajaan Persekutuan.

Hasilnya: ‘Tanpa prejudis kepada pemberian khas 40% dalam Art.112C’; pemberian kepada Sabah dinaikkan daripada RM26.7 juta di bawah Perintah 1970 kepada RM125.6 juta untuk 2022 dan RM129.7 juta pada 2023 di bawah Perintah 2022 yang baharu.

Dalam satu kenyataan hari ini, antara tahun 2022 dan 2026 Sabah akan menerima RM669.8 juta secara keseluruhan, manakala di bawah pemerintahan kerajaan Parti Warisan (Warisan) sebelum ini, Sabah hanya akan menerima RM267 juta.

Di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, perlu ada semakan semula pemberian khas kepada Sabah setiap lima tahun.

“Pada tahun 2018, Warisan gagal mengadakan sebarang semakan di bawah Perkara 112D.

“Sebaliknya Warisan berbohong dalam Belanjawan Persekutuan dengan mengatakan pemberian khas itu digandakan daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta. Ini adalah tidak benar kerana pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D hanya boleh ditingkatkan selepas semakan perlembagaan.

“Tiada semakan di bawah Perkara 112D pernah diadakan di bawah kerajaan Warisan,” kata kenyataan itu lagi bagi menjawab tohmahan pihak pembangkang berhubung perkara ini.

Kenyataan itu berkata, Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) tidak pernah menyaman Kerajaan Sabah.

Malah Hajiji selaku Ketua Menteri mengarahkan agar kerajaan negeri menyertai semakan kehakiman sebagai Responden supaya Sabah dapat memperjuangkan haknya di hadapan Mahkamah.

“Kerajaan Sabah menyokong hak untuk menyaman Kerajaan Persekutuan jika mereka enggan mengiktiraf atau menyerahkan hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D.

“Warisan salah bahawa perkara ini di hadapan Mahkamah Tinggi pada bulan September. Malah Mahkamah Tinggi pada November 2022 memberi kebenaran kepada SLS untuk meneruskan semakan kehakiman.

“Kerajaan Sabah telah menyokong SLS dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman mereka.

“Kerajaan Persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan perkara tersebut akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada September 2023.

“Kerajaan Sabah kini giat mengejar hak Sabah untuk 40 peratus tersebut dan sedang bersedia untuk semakan ketiga pada 2026,” kata kenyataan itu lagi.