KOTA KINABALU: Rakyat Sabah digalakkan memanfaatkan sepenuhnya portal pekerjaan disediakan jabatan serta agensi kerajaan untuk membolehkan memperoleh pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan mereka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan menyediakan portal pekerjaan Sabah Jobs Portal (SJP) dan MYFutureJobs merupakan platform bagi pencarian pekerjaan setempat diberikan secara percuma kepada majikan dalam sektor swasta.
Katanya, sejumlah 5,491 pencari kerja dan 233 majikan yang menawarkan 365 kekosongan jawatan berdaftar dengan Sabah Jobs Portal.
“Dengan pewujudan Portal ini ia mampu melakukan padanan pekerjaan dan perkhidmatan kerjaya lain, selain menawarkan inisiatif-inisiatif Kerajaan.
“Berdasarkan data PERKESO, sejak Januari sehingga 16 September 2022, jumlah kehilangan pekerjaan adalah seramai 1,013, manakala sudah diberikan penempatan pekerjaan adalah seramai 10,971.
“Justeru pencari kerja disarankan untuk mendaftar dalam Sabah Jobs Portal. Saya mahu lebih ramai lagi golongan belia atau lepasan sekolah menggunakan portal ini untuk mencari pekerjaan”, katanya merasmikan Karnival Kerjaya Perdana Sabah Maju Jaya Tahun 2022 di sini hari ini.
Hajiji berkata, sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik keadaan ekonomi negara beransur pulih sehingga kadar pengangguran menurun pada kadar 3.9 peratus pada April tahun ini.
Menurutnya, berdasarkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia, kadar pengangguran bagi negeri Sabah sehingga Mei 2022 ialah sebanyak 9.1 peratus.
Beliau berkata, penularan pandemik COVID-19 menjejaskan sektor pekerjaan sehingga menyebabkan banyak industri ditutup sekali gus menyebabkan kadar pengangguran meningkat termasuk mereka diberhentikan kerja atau dibuang kerja.
Justeru katanya, bagi menyahut cabaran yang dihadapi, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif termasuk penganjuran karnival kerjaya sebagai medium menghubungkan pencari kerja dengan majikan.
Katanya, karnival kerjaya adalah platform untuk memberi pendedahan kepada golongan belia tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri pekerjaan swasta dalam pelbagai bidang pekerjaan.
Hajiji berkata, usaha yang dijalankan oleh JPSM setakat ini telah menganjurkan sebanyak enam siri Karnival Kerjaya sepanjang tahun 2022 dengan sebanyak 1,282 telah mendapat pekerjaan daripada 3,109 pemohon dengan sebanyak 14,654 jumlah jawatan ditawarkan.
Beliau berkata, inisiatif yang dilakukan oleh PERKESO menerusi program Jamin Kerja- Insentif Penggajian (JKIP) dapat memangkinkan penciptaan peluang pekerjaan dan pengambilan pekerja sepanjang tahun ini.
Sehingga 18 Julai tahun ini, Program JKIP dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia.