KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menempelak kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, yang mendakwa kerajaan negeri kononnya sedang menghidap “penyakit lima serangkai”.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tuduhan itu hanyalah retorik politik tanpa sebarang penyelesaian untuk rakyat.
“GRS tidak menafikan Sabah berdepan cabaran besar seperti isu air, elektrik dan pembangunan tanah. Namun, berbeza dengan serangan politik semata-mata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Beliau ternyata sedang melaksanakan pelan nyata melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, cabaran yang wujud adalah legasi berpuluh tahun dan tidak akan selesai hanya dengan retorik.
Menurutnya lagi, retorik “angkat senjata politik” yang dilaungkan Bersatu jelas menunjukkan pendekatan konfrontasi, seolah-olah mahu menjadikan Sabah gelanggang percubaan untuk agenda Perikatan Nasional (PN) menuju Putrajaya.
“Malah Ronald sendiri mengakui kemenangan di Sabah hanyalah permulaan jalan kemenangan PN di Semenanjung.
“Ini membuktikan Sabah bukan perjuangan sebenar mereka, sebaliknya sekadar batu loncatan kuasa,” katanya.
Nizam turut mengingatkan bahawa ketika Presiden Bersatu menjadi Perdana Menteri, isu besar Sabah termasuk kemudahan asas, peluang pekerjaan dan pelaksanaan penuh MA63 tidak diberikan perhatian sewajarnya.
“Kini selepas hilang kuasa, Bersatu kembali dengan janji baharu yang tidak lebih daripada mengulangi kegagalan lama,” katanya.
Beliau menambah, PN sendiri tidak stabil apabila sering berdepan perbezaan dalaman dengan sekutunya PAS.
“Bagaimana mahu menjanjikan kestabilan untuk Sabah sedangkan dalam PN sendiri wujud keretakan?” soal beliau.
Katanya, kerajaan negeri Sabah hari ini sudah pun menerima sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan dalam bentuk peruntukan pembangunan, projek infrastruktur dan komitmen pelaksanaan MA63.
“GRS menolak politik ugutan dan dendam. Rakyat Sabah sudah cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka, dan siapa yang hanya mahu menjadikan Sabah batu loncatan kuasa ke Putrajaya,” katanya.
