GRS dan BN tidak akan jejaskan pentadbiran negeri – Joniston

KOTA KINABALU: Perselisihan faham diantara Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak menjejaskan pentadbiran negeri itu.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kedua-dua pemimpin itu tidak akan berperang kerana mereka masih mengutamakan kepentingan Sabah.

Katanya, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, menghargai rakan BN yang menganggotai kerajaan negeri pimpinannya.

“Sebagai ketua menteri, sudah tentu kepentingan negeri dan rakyat sentiasa diutamakan oleh kedua-dua pemimpin ini.

“Saya fikir Bung Moktar juga pemimpin rasional dan akan mempertimbangkan apa yang baik untuk negeri ini dan rakyat,” katanya di sini hari ini.

Joniston berkata, kerajaan Sabah berfungsi dengan baik dan bajet besar untuk tahun depan yang akan dibentangkan minggu depan, menunjukkan kerajaan bekerja keras untuk negeri itu.

“Bagaimana kita boleh mempunyai bajet besar, jika tiada keberkesanan atau kecekapan dalam kalangan pemimpin kita?

“Saya yakin kerajaan negeri akan tetap utuh kerana pemimpin meletakkan kepentingan negeri dan rakyat di hati mereka. Ini adalah kerajaan Sabah terbaik yang pernah kita ada, jadi kenapa kita mahu mengganggunya?”

Baru-baru ini, Bung Momtar mengkritik Hajiji dan mendakwa beliau mengisytiharkan perang terhadap BN Sabah kerana menyokong Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Hajiji bagaimanapun berkata, ia disalah tafsir dan perjanjian GRS serta BN Sabah kini tidak sah kerana BN kalah dalam pilihan raya umum ke-15.

Beliau berharap BN Sabah akan terus bekerjasama dengan GRS untuk mentadbir negeri itu.