KOTA KINABALU: Golongan belia, khususnya generasi Z, diingatkan supaya lebih bijak menilai dan menapis maklumat yang diterima menerusi media sosial agar tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu atau maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohammed Razali Razi, berkata meskipun media sosial menjadi medium utama bagi anak muda hari ini, ia tidak wajar dijadikan satu-satunya sumber rujukan.
“Jangan terlalu percaya dengan apa yang dihidangkan di media sosial.
“Kita perlu berfikir secara kritis dan mendapatkan pandangan guru, ibu bapa atau sumber rasmi terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya di sini semalam.
Razali berkata, program seperti ini penting bagi memberi ruang kepada pemimpin mendengar secara langsung aspirasi belia serta memahami keperluan mereka.
“Apabila kita mendengar, kita akan faham. Apabila kita faham, barulah kita boleh membuat keputusan yang tepat demi masa depan anak-anak muda,” katanya.
Dalam sesi soal jawab bersama pelajar, beliau turut menasihatkan agar generasi muda tidak hanyut dengan maklumat yang tular, sebaliknya menilai setiap perkara dengan sikap terbuka dan berfikir secara rasional.
Sebagai tanda sokongan kepada institusi pendidikan, sumbangan sebanyak RM5,000 turut disampaikan kepada pihak sekolah melalui Pengetua KTEKK, Suhaibul Kassim.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan.
