GRS Bukti Hasil, Warisan Sekadar Retorik – Arthur Sen

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Arthur Sen, menempelak dakwaan Parti Warisan kononnya pencapaian hasil negeri RM7 bilion dan rizab RM8.7 bilion pada tahun 2024 adalah “legasi Shafie Apdal”.

Katanya, realiti menunjukkan ketika Warisan memegang tampuk kerajaan, hasil negeri jatuh ke paras RM4.2 bilion manakala rizab merosot kepada RM3.2 bilion.

“Lucu bila Warisan mahu dakwa itu kejayaan mereka, sedangkan angka sebenar membuktikan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arthur menegaskan, pelaksanaan Cukai Jualan Petroleum (SST) hanya berjaya direalisasikan selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran pada akhir 2020.

“Kajian SST bermula sejak 2014, perwartaan pada 2018, tetapi Petronas hanya mula daftar dan bayar selepas GRS mentadbir. Fakta jelas, GRS yang realisasikan, bukan Warisan,” ujarnya.

Beliau turut menyindir kenyataan Warisan yang menyebut “rakyat tidak boleh makan angka”. Menurutnya, rakyat juga tidak boleh makan janji kosong seperti yang berlaku di era pentadbiran Warisan.

“Zaman Warisan, air tetap kotor, jalan berlubang, elektrik padam. Di bawah GRS, hasil negeri digunakan terus untuk pembangunan – RM729 juta untuk air, RM1.34 bilion bagi jalan raya dan jambatan, ratusan juta untuk pendidikan dan biasiswa,” katanya.

Arthur juga mengingatkan legasi sebenar Warisan ialah keputusan berisiko Sabah Development Bank (SDB) meluluskan pinjaman RM300 juta kepada syarikat penerbangan AirAsia ketika pandemik Covid-19.

Sebaliknya, jelas beliau, GRS berjaya membawa transformasi besar dalam sektor minyak dan gas apabila Sabah kini mempunyai pegangan ekuiti langsung – antaranya 50 peratus dalam Samarang PSC, 25% SAMUR, 10 peratus LNG9, 25 peratus ZLNG dan bakal 40 peratus dalam PFLNG1.

“GRS bawa hasil, tambah rizab dan majukan Sabah. Warisan hanya tinggal legasi janji palsu, PSS dan keputusan ekonomi yang silap,” tegasnya.