KUALA.PENYU : Rakyat Malaysia terutamanya generasi muda perlu menghayati serta menghargai erti kemerdekaan negara, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort Ak.Mohd Yazri Ak Mohd Yahya.
Menurutnya kemerdekaan adalah perkara bermakna dan perlu dipertahankan golongan muda yang merupakan waris kemerdekaan yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin negara terdahulu.
Katanya menyedari kepentingan itu, semua pihak samada jabatan agensi kerajaan, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pertubuhan politik telah menganjurkan pelbagai program sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia untuk memberi pemahaman dan kesedaran kepada rakyat terutamanya golongan muda.
“Generasi sekarang sangat beruntung kerana mewarisi kemerdekaan negara dan dapat hidup senang serta aman hasil perjuangan pemimpin dan rakyat terdahulu untuk mencapai kemerdekaan,” katanya pada program mengedar bendera Malaysia dan pengisian minyak petrol percuma anjuran Pergerakan Pemuda Umno bahagian itu di sini, semalam.
Program tersebut dilancarkan oleh Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno bahagian Jaludin Kadir dan Ketua Wanita Umno Bahagian Juriffaah Safflie.
Ak Mohd Yazri berkata seiring tema sambutan Hari Kemerdekaan ke 66 tahun ini ” Tekad Perpaduan,Penuhi Harapan ” rakyat di negara ini perlu terus mengukuhkan perpaduan yang wujud antara pelbagai suku kaum yang terdapat di negara ini khususnya di Sabah.
“Perpaduan kaum sangat penting untuk mewujudkan kestabilan politik, pentadbiran efektif serta merancang dan menggerakkan pembangunan di negara” katanya
Terdahulu Awang Aslee ketika melancarkan program tersebut berkata program seperti ini merupakan landasan terbaik bagi mendekati anak muda dalam menyampaikan mesej untuk mereka terus menghargai dan mempertahankan makna kemerdekaan negara.
“Walaupun telah mencecah 66 tahun negara kita merdeka namun sejauh manakah penghayatan erti kemerdekaan itu tertanam terutamanya generasi muda, mereka merupakan aset kepada negara dan merupakan pemimpin pada masa akan datang,” katanya.
Justeru itu, beliau berkata, golongan ini perlu memiliki jati diri dan semangat patriotik untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian negara.