KOTA KINABALU: Kenyataan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung memperlihatkan sangat ‘Cetek Pengetahuannya’ tentang sejarah politik di Sabah dan malaysia.
Ketua Penerangan WARISAN, Datuk mohd Azis Jamman berkata, beliau (Frankie) menyentuh tentang parti lokal tidak boleh menuntut hak Sabah sekali gus memperlihatkan DAP tidak hidup pada realiti semasa.
Katanya, Frankie Poon lupa ketika zaman pemerintahaan USNO, selain daripada tekanan dari kuala lumpur khususnya UMNO yang memiliki kekuatan lebih 2/3 di Parlimen walaupun tanpa Sabah dan Sarawak.
“Allahyarham Tun Mustapha ditekan agar menandatangani perjanjian petroleum….Apabila Tun tidak setuju maka mereka tubuhkan parti BERJAYA untuk memastikan USNO dapat ditumbangkan.
“Ketika pemerintahan BERJAYA…Meskipun BERJAYA menjadi kerajaan yang kuat di Sabah, namun kekuatan UMNO jauh lebih berkuasa di Malaya.
“Ini kerana tanpa Sabah pun UMNO selaku tunjang kerajaan di peringkat persekutuan mereka tetap mempunyai kekuatan kukuh kerana memiliki lebih 2/3 di Parlimen.
“ Kerajaan BERJAYA tidak berupaya menuntut hak-hak Sabah malah hak dan kepentingan Sabah semakin terhakis sehingga Labuan lepas dari gengaman Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Azis berkata, atas kesedaran rakyat Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS) ditubuhkan hasil daripada penyatuan tanpa mengira bangsa serta anutan agama sekali gus parti BERJAYA akhirnya dapat ditumbangkan.
“Ketika itu PBS lantang menyuarakan hak-hak Sabah sehingga mereka keluar daripada Barisan Nasional (BN). Tetapi atas kekuatan UMNO di Semenanjung Malaysia….Akhirnya PBS keluar BN namun tidak sedikit pun memberikan kesan besar kepada kedudukan UMNO di Putrajaya.
“UMNO menggunakan kuasa mereka selain wang ringgit untuk membeli wakil-wakil rakyat Sabah sehingga berlakunya lompatan dan mengakibatkan kerajaan PBS tumbang memberikan ruang kepada UMNO untuk melebarkan sayapnya ke Sabah,” katanya.
Atas sejarah ini, sepatutnya Frankie Poon faham mengapa tuntutan hak-hak Sabah tidak dapat dijayakan oleh parti lokal di Sabah dan Sarawak.
Ketika ini kekuatan UMNO tidak dapat dinafikan di Semenanjung Malaysia walaupun tanpa Sabah dan Sarawak, berikutan mereka masih mempunyai kekuatan 2/3 di peringkat Parlimen.
Ini termasuk Sarawak juga tidak berupaya menuntut haknya meskipun mereka mempunyai kekuatan memiliki sendiri parti lokal kerana UMNO sangat utuh dan kuat di Putrajaya.
“Hari ini senario politik sudah berubah….UMNO sudah tidak sekuat seperti dahulu…
Malah kerajaan UMNO dan Perikatan Nasional (PN) memerlukan 18 kerusi Parlimen Sarawak.
“Tanpa Sarawak kerajaan BN-PN pastinya mereka akan tumbang…Dalam mengetahui akan hakikat itu maka banyak kemajuan berkenaan tuntutan Perjanjian Malaysia (MA63) dapat terlaksana.
“Malah banyak tuntutan Sarawak terpaksa dipenuhi oleh Putrajaya….Mereka tiada pilihan melainkan menunaikannya kerana takut kuasa parti lokal Sarawak boleh menumbangkan kerajaan persekutuan.
Mohd Azis berkata, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan menjadi titik mula Borneo Blok disebut bukan sahaja oleh pemimpin Sabah malah pemimpin di peringkat negeri Sarawak.
“Mereka juga mengakuinya bahawa jika Sabah dan Sarawak bergabung, maka kedua-dua negeri ini boleh menentukan siapa bakal membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.
“Inilah peluang sewajarnya yang tidak boleh dilepaskan oleh rakyat Sabah untuk memastikan hak dan kepentingan mereka dapat dipenuhi sekali gus dikembalikan oleh Putrajaya,” katanya.