SANDAKAN : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) komited menjaga kelestarian alam sekitar menerusi tanggungjawab sosial korporatnya, kata Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Katanya, FELDA tidak hanya bercakap mengenai sawit, tetapi soal hubungan bukan hanya antara manusia dengan manusia tetapi juga manusia dengan alam sekitar.
“Itu mesti dikekalkan, mesti dibangunkan dan mesti dijalinkan sebaik mungkin. Komitmen ini menjadikan satu daripada dasar penting dalam FELDA itu sendiri.
“Kita mesti sensitif tentang apa yang berlaku dalam alam sekitar,” katanya pada Majlis Penyerahan Dana dan Perasmian Aktiviti Sukarelawan Program Legasi Penyu: Tekad Bersama Memulihara di sini, semalam.
Menurut beliau, FELDA sebelum ini terlibat dalam hal-hal berkaitan alam sekitar seperti tapir dan beruang madu.
Bagaimanapun, katanya, ini merupakan pertama kali pihaknya terlibat dengan konservasi hidupan laut iaitu penyu.
“Ramai orang bertanya apa kena mengena FELDA dengan laut, tetapi ini adalah merupakan satu peningkatan yang lebih besar. Dan bumi bukan hanya tanah, tetapi sebahagian besar daripadanya adalah lautan,” jelasnya.
Beliau berharap program kesukarelaan itu yang melibatkan pembinaan sebanyak 500 sangkar untuk penetasan anak-anak penyu akan dibuat dalam konteks menyeluruh dan berterusan.
Katanya, ini memerlukan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan termasuk masyarakat setempat.
