Mahasiswa UKM-GSB kumpul dana RM75,000 jayakan inisiatif CSR Program Legasi Penyu di Sandakan

SANDAKAN : Seramai 10 mahasiswa Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pusat Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) berjaya mengumpul dana sebanyak RM75,000 sebagai inisiatif pemuliharaan penyu di sekitar daerah ini.

Hasil dana diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah semasa Majlis Penyerahan Dana dan Perasmian Aktiviti Sukarelawan Program Legasi Penyu: Tekad Bersama Memulihara (The Legacy of Turtles: Everyone’s Commitment to Conservation) yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini, semalam.

Timbalan Dekan (Akademik) UKM, Dr. Mara Ridhuan Che Abdul Rahman berkata dana tersebut akan digunakan untuk menaja 500 sangkar penyu sebagai usaha membantu pengurusan Taman Pulau-Pulau Penyu (TPPP) memberi perlindungan dan pemuliharaan penyu-penyu di sekitar Pulau Bakungan Kecil, Selingan dan Gulisan.

Katanya, kumpulan mahasiswa itu yang dikenali sebagai The Ocean Guardian turut melaksanakan aktiviti dan kempen kesedaran bersama 20 sukarelawan yang lain bagi menyalurkan maklumat kepada orang awam akan kepentingan usaha untuk melindungi dan memulihara penyu-penyu khususnya di Sabah.

Beliau berkata penaja utama program terdiri daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FGV Holdings Berhad, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Yayasan FELDA, Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn Bhd (MKIC) dan Eng Huat Latex Concentrate Sdn Bhd.

Program itu turut mendapat perhatian dan kerjasama dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), United Nations Sustainable Development Solutions Network Asia Headquaters (UNSDSN ASIA) oleh Sunway University serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), katanya.

Menurut beliau, sebagai salah sebuah universiti penyelidikan yang terkemuka di Malaysia, UKM bukan sahaja komited dalam menyediakan pendidikan dan pengajaran yang berkualiti, malah turut memainkan peranan penting dalam menyokong negara mencapai matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Sustainability Development Goals).

Mara Ridhuan berkata antara projek lain yang telah dilaksanakan sebelum ini termasuk penanaman pokok di sepanjang Sungai Kinabatangan dan pemuliharaan Beruang Madu di Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sepilok.