Elaun Ketua Daerah, KAN, WKAN, Ketua Kampung naik 48 peratus mulai September – Hajiji

TAWAU: Seramai 3,963 Ketua Adat atau pemimpin masyarakat di Sabah akan menerima kenaikan purata 48 peratus elaun bulanan mulai September ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kenaikan elaun itu sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan terhormat Ketua Adat dalam masyarakat.

Beliau mengumumkan perkara ini pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pemimpin dan Ahli Gagasan Rakyat Parlimen Tawau dan Kalabakan, di sini, hari ini.

Berikutan keputusan Kerajaan Negeri itu, elaun bulanan Ketua Daerah akan dinaikkan kepada RM3,500 daripada RM2,700 (naik 29.6, manakala Ketua Anak Negeri (KAN) menerima kenaikan 47.1 peratus kepada RM2,500 sebulan berbanding RM1,700 sebelum ini.

Elaun Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) pula naik kepada RM1,300 daripada RM900 (naik 44.4 peratus), manakala elaun Ketua Kampung dan Kapitan dinaikkan kepada RM1,200 daripada RM700 (naik 71.4 peratus.

Hajiji berkata langkah itu akan memberi manfaat kepada 57 Ketua Daerah, 272 KAN, 648 orang WKAN, 2,810 orang Ketua Kampung dan 176 Kapitan di seluruh negeri.

Kenaikan itu katanya membuktikan komitmen kerajaan untuk memenuhi keperluan semua pihak dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah (SMJ).

Beliau berkata ia termasuk peranan mereka sebagai hakim di Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan menampung perbelanjaan ketika menghadiri mesyuarat, kursus dan majlis rasmi di luar daerah.

“Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan penting Ketua Adat sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dan kenaikan ini bertujuan meningkatkan motivasi ketua adat untuk memberikan perkhidmatan yang penuh integriti kepada masyarakat,” katanya.

Tambahan pula, katanya,, ia telah lama tertunggak dengan semakan yang terakhir dilakukan pada 2013 dimana elaun mereka kekal tidak berubah manakala kos sara hidup meningkat.