KOTA KINABALU: Pemuda UMNO merupakan tulang belakang parti yang bersama kepimpinan menjulang obor perjuangan demi agama, bangsa dan negara sejak sebelum merdeka sehingga masa kini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Ak.Mohd Yazri Ak Mohd Yahya berkata sepanjang sejarah kewujudannya, Pemuda UMNO telah menjadi sayap parti yang tangkas dan cergas dalam menjuarai isu-isu masyarakat terutamanya golongan muda dan belia.
“Sebagai teras suara anak muda dalam UMNO, Pemuda menjadi pemangkin dalam memastikan bahtera perjuangan parti kekal berada di laluan agenda membela rakyat, mengangkat kedaulatan negara dan mempertahankan kemerdekaan tanahair ini,” katanya sempena menyambut ulang tahun Penubuhan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Ke-74, di sini hari ini.
Justeru itu, Ak Mohd Yazri berkata, Pemuda UMNO akan terus berperanan memastikan parti itu kekal relevan, sekali gus kembali diterima rakyat untuk memacu kebangkitan yang diharapkan di masa depan.
“Kita akan dekati, fahami dan tambat hati anak muda untuk menyokong UMNO. Inilah amanah terbesar yang harus dipikul sepenuh hati oleh Pemuda UMNO,” kata Ak Mohd Yazri.
