KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu bertindak segera menyelesaikan isu bekalan air, elektrik serta jalan raya yang semakin uzur dan bukannya merancang menubuhkan sebuah syarikat penerbangan komersial yang baharu di negeri ini.
Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed bertanya, apakah keperluan untuk Sabah memiliki sebuah syarikat penerbangan sendiri itu perlu diberi keutamaan berbanding isu infrastruktur diabaikan begitu sahaja.
“Saya anggap cadangan ini adalah baik tapi masanya belum sesuai. Adakah memilik syarikat penerbangan sendiri perlu diutamakan berbanding pembaikan serta pemulihan infrastruktur Sabah?
“Harus diingat rakyat Sabah kini berhadapan dengan isu bekalan air dan elektrik yang kritikal serta tidak mencukupi untuk menampung permintaan penduduk di seluruh negeri Sabah.
“Saya juga ingin mempersoalkan rasionalnya untuk kita mewujudkan syarikat penerbangan sendiri dalam tempoh terdekat ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB) Kenny Chua yang menjangkakan Sabah boleh mempunyai syarikat penerbangannya sendiri yang akan beroperasi menjelang 2024.
Jeffrey Nor merupakan Ketua Bahagian UMNO Putatan turut mempersoalkan apakah cadangan ini sebagai reaksi kepada Sarawak yang juga berhasrat untuk membuat syarikat penerbangan sendiri.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan Sarawak kini dalam proses mengambil alih operasi Maswing dan bukannya menubuhkan sebuah syarikat penerbangan yang baharu.
“Ini bermaksud syarikat baharu ini akan memiliki aset dari Maswing, termasuklah kebenaran untuk berlepas serta mendarat di lapangan terbang yang kini menerima operasi Maswing.
“Sekiranya Sabah ingin buat syarikat baharu, ia harus bermula dari peringkat awal. Ini termasuk bijak merancang bentuk pelan serta modal perniagaan bagi mewujudkan syarikat baharu itu nanti,” katanya.
Mengulas lanjut tentang cadang ini, Jeffrey Nor bertanya, apakah syarikat ini mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk mengekalkan perniagaan ini agar bertahan dalam tempoh masa lama.
“Ini termasuk bagaimana ia akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah, khususnya kita menjangkakan laluan yang diberi keutamaan nanti adalah bagi laluan Kota Kinabalu – Kuala Lumpur (KK-KL).
“Kita sedia maklum, laluan ini terlalu sudah “over-saturated” berikutan wujudnya persaingan besar daripada Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air Malaysia dan juga MyAirlines.
“Setakat ini kita tidak lagi perlukan sebuah syarikat ‘white elephant’ yang bergantung sepenuhnya kepada subsidi kerajaan untuk meneruskan operasi mereka,” tegasnya.
Jeffrey Nor melihat kerajaan negeri ketika ini sudah hilang fokus serta matlamat mereka dengan menumpukan kepada perkara yang bukan menjadi keperluan kepada membantu rakyat.
“Isu yang harus diutamakan diketepikan…Manakala isu yang tidak relevan, difokuskan. Saya harap kerajaan negeri perlu tumpu selesaikan masalah infrastruktur secara tuntas baharu memikirkan untuk cadangan yang lain,” kata Jeffery Nor.