KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) secara rasminya menubuhkan sebuah lagi kursi akademik yang dikenali sebagai Kursi Rumpun Bajau Samah
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata, penubuhan kursi itu bertujuan untuk mengadakan penyelidikan dan aktiviti pelestarian bagi memelihara, memulihara dan membangunkan kebudayaan dan kesenian Rumpun Bajau Samah.
“Dengan penubuhan kursi ini ia dapat memastikan peradaban, adat, tradisi dan budaya Rumpun Bajau Samah sentiasa terpelihara dan membangun mengikut peredaran zaman.
“Pelbagai jenis aktiviti dan tanggungjawab juga akan dilaksanakan melalui penyelidikan akademik dan penganjuran program-program seperti simposium, seminar, bengkel, dan festival kesenian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sumbangan dana sebanyak RM10 juta bagi tujuan penubuhan kursi akademik tersebut.
Abdul Rahman berkata pelantikan Pemegang Kursi ini akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Katanya pemilihan calon adalah dengan mengambil kira pengetahuan dan pemahaman yang tinggi terhadap kebudayaan dan tradisi suku Bajau Samah.
Untuk rekod, cadangan penubuhan Kursi Rumpun Bajau Samah ini bermula pada tahun 2022 melalui petikan ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada Majlis Perasmian Pesta Regatta Lepa di Padang Bandaran Kota Kinabalu.
Kursi akademik selepas Kursi Kadazandusun dan Kursi Pengurusan Kelestarian Kelapa Sawit Felda Global Ventures (FGV) itu akan ditempatkan dibawah Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS.