Kerjasama kerajaan, NGO jelaskan Gagasan Malaysia Madani, SMJ perlu diteruskan – Hajiji

TAWAU: Kerjasama di antara pihak kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diteruskan bagi memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan Konsep Sabah Maju Jaya (SMJ) 

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberikan penghargaan kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) kerana memainkan peranan yang sangat aktif dalam pelbagai bidang khususnya dakwah, sosial dan kerja amal.

Katanya, USIA begitu konsisten dengan tanggungjawab membantu kerajaan untuk memelihara keharmonian dan meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan penduduk Negeri Sabah.

“Itulah antara sebab mengapa saya menyarankan agar USIA mengadakan kerjasama atau berkolaborasi dengan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN – Tugas-Tugas Khas) untuk mengadakan forum bagi memberi penjelasan berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan dasar SMJ.

“Kerjasama dan kolaborasi seperti ini harus diteruskan, bukan hanya antara USIA dengan Pejabat TSKN Tugas-Tugas Khas, bahkan antara Kementerian atau jabatan lain bersama dengan mana-mana NGO. 

“Bekerjasamalah anda semua demi kebaikan dan kepentingan masyarakat dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Forum Malaysia Madani: Keharmonian Dalam Kepelbagaian, Pelaksanaan WAM2CARE Peringkat Zon Tawau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Arif; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam dan Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad.

Hajiji berkata, Gagasan Malaysia Madani dan Pelan Pembangunan SMJ menjurus kepada matlamat untuk mencipta kemakmuran dan kesejahteraan demi kebajikan dan kebahagiaan seluruh rakyat. 

Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara USIA dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) bagi pengoperasian Pusat Latihan Dakwah USIA-Al-Bukhary di Kampung Marasinsim Kota Marudu.

Ketua Menteri turut melancarkan program Wadah Amal Menteri (WAM2Care) bagi daerah Tawau, untuk menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada pelajar di Sabah; antaranya Bantuan Ehsan Sekolah Sabah (BISBA) dan Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa Guru (BAGUS).