KOTA KINABALU : Seramai 72,060 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin serta miskin tegar menerima manfaat daripada fasa pertama Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah 2025 (SYUKUR) bermula dikreditkan ke akaun penerima sejak 17 Februari lalu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, program tersebut merupakan komitmen Kerajaan Negeri bagi membasmi kemiskinan dan miskin tegar menerusi peruntukan khas RM358.4 juta tahun ini.
Katanya, setiap penerima menerima bantuan kewangan RM300 sebulan, dibayar secara terus untuk tiga bulan setiap fasa.
“Bagi fasa pertama, seramai 68,238 penerima telah berjaya menerima bayaran, bersamaan 95 peratus daripada keseluruhan senarai.
“Baki lima peratus penerima belum menerima bantuan masih dalam proses pengemaskinian data oleh pegawai MySMJ di kawasan lapangan,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan tiada golongan layak yang tercicir, Kerajaan turut membangunkan Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) sebagai saluran permohonan dalam talian bagi mereka yang tidak tersenarai dalam sistem e-Kasih.
“Setakat 31 Mac 2025, Sekretariat SMJ telah menerima 270,272 permohonan melalui PADANS, senarai UPPM dan hasil sesi libat urus bersama ADUN bukan kerajaan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Jannie Lasimbang (Kapayan) bersekali dengan soalan-soalan berkaitan daripada Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin (Nabawan), Assaffal P. Alian (Tungku), Datuk Jonnybone Kurum (Telupid), Alias Sani (Sekong) dan Calvin Chong Ket Kiun (Elopura).
Abidin menjelaskan bahawa data e-Kasih adalah dinamik dan boleh berubah berdasarkan pelbagai faktor termasuk perubahan pendapatan dan status isi rumah.
“Kerajaan Negeri menjangkakan angka miskin tegar akan terus menurun dengan pelaksanaan berterusan program SYUKUR serta pelbagai inisiatif berkaitan.”
“SYUKUR juga disokong lima teras intervensi utama termasuk perumahan, pendidikan, pekerjaan, kewangan dan keusahawanan,” jelasnya.
Katanya, di bawah inisiatif perumahan, sebanyak 3,000 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina tahun ini, melibatkan kuota 40 unit untuk setiap kawasan DUN.
Dalam bidang pendidikan, Kerajaan memperuntukkan RM75.5 juta bagi pelbagai bantuan dan program seperti AKSA, BAGUS, BAKTI, BISBAH dan GRS-SUBFLY yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar.
Sektor pekerjaan turut diberi penekanan melalui kerjasama strategik dengan pelabur seperti Kumpulan Kibing yang dijangka mewujudkan 700 peluang pekerjaan baharu di KKIP dan Kudat.
Syarikat tempatan lain seperti Kumpulan Sawit Kinabalu dan Kumpulan BTC Berhad juga komited membuka peluang pekerjaan kepada golongan miskin dan miskin tegar.
“Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan PERKESO bagi menawarkan platform kerjaya kepada golongan sasar melalui pelbagai program dan pendedahan industri.
“Sebanyak 29 agensi bantuan telah menyatakan komitmen menyokong usaha pembasmian kemiskinan termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui program rintis Ehsan@KUSKOP.
“Tiga daerah terlibat dalam pelaksanaan awal program KUSKOP ini ialah Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat dengan peruntukan RM3 juta bagi membantu anak-anak miskin meneruskan pendidikan,” katanya.
Abidin berkata, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan semua penerima bantuan kekal berada di atas paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) melalui pemantauan dan penilaian impak berterusan.