DUN Sabah: Jalan Merotai–Kalabakan Terus Terabai, ADUN Gesa Tindakan Segera Kerajaan

KOTA KINABALU: Masalah jalan raya dari Merotai ke Kalabakan terus menghantui penduduk apabila masih gagal diselesaikan walaupun kepimpinan menteri silih berganti, kata ADUN Merotai, Sarifuddin Hata.

Beliau berkata keadaan jalan yang semakin teruk memerlukan tindakan segera dan menggesa Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu turun padang, sambil menegaskan laluan Kalabakan tidak termasuk dalam mana-mana fasa Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Sarifuddin menekankan jalan di kawasan itu perlu disenggara secara berkala dan dinaik taraf kepada jalan berturap demi keselamatan serta kelancaran pergerakan harian penduduk.

Beliau turut membangkitkan kerosakan teruk jalan di Kampung Gudang 4 akibat lori kontraktor pembinaan empangan yang membawa muatan berlebihan, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.

Dalam masa sama, Sarifuddin mencadangkan pembukaan semula Klinik Kesihatan Taman Semarak bagi mengurangkan kesesakan Klinik Kubota serta mencadangkan sumbangan CSR perkhidmatan Starlink kepada SK Brumas bagi mengatasi masalah internet lemah.