KOTA KINABALU: Kerajaan Perpaduan Sabah digesa mempertimbangkan peningkatan peruntukan pembangunan dan operasi bagi institusi keagamaan bukan Islam agar setara dengan peruntukan hal ehwal agama Islam yang mencecah RM151.08 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Madius Tangau berkata, walaupun peruntukan bagi pembangunan keagamaan bukan Islam serta sekolah mubaligh dan persendirian telah ditingkatkan daripada RM70 juta kepada RM90 juta.
Katanya, jumlah itu masih tidak seimbang memandangkan ia perlu dikongsi oleh pelbagai agama.
“Peruntukan RM90 juta ini dikongsi oleh penganut Buddha, Hindu serta pelbagai denominasi gereja Kristian seperti Roman Catholic (RC), Seventh-day Adventist (SDA), Anglican, GYB, SIB, PCS, Methodist, Baptist dan lain-lain,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurut beliau, peruntukan bagi agama Islam merangkumi pembangunan dan operasi masjid serta sekolah agama Islam, justeru wajar prinsip keadilan dan kesaksamaan turut diterapkan dalam pengagihan bantuan kepada agama bukan Islam.
Dalam pada itu, Madius turut memohon agar Taoisme dimasukkan dalam senarai agama bukan Islam yang layak menerima bantuan kerajaan negeri, selaras dengan kepelbagaian anutan agama di Sabah.
