Dua lokaliti di Sabah dikenakan PKPD mulai Ahad – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Dua lokaliti di Sabah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad ini sehingga 3 Julai depan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata lokaliti yang terlibat ialah Grace Villa Condo, Sembulan di Kota Kinabalu dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pasir Putih, Putatan di Sabah.

Beliau berkata langkah itu dibuat berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan penularan kes COVID-19 di lokasi terlibat berlaku dengan pantas dan kadar kebolehjangkitan juga tinggi.

“PKPD dilaksanakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut selain membolehkan KKM menjalankan saringan komuniti, mengesan dan mengasingkan kes baharu serta melakukan pengesanan kontak dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, PKPD di Kampung Gusi Kinarut, Papar dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat di Sabah dilanjutkan mulai Ahad hingga 3 Julai, berikutan masih terdapat penularan baharu direkodkan dalam kalangan komuniti dan masih banyak sampel ujian saringan belum mendapat keputusan.

Ismail Sabri turut memaklumkan terdapat beberapa lokaliti PKPD ditamatkan hari ini dan esok, malah ada yang ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan, selepas terdapat penurunan kes COVID-19 dan kluster yang terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

Di Sabah, PKPD di Taman Wawasan, Tawau, ditamatkan hari ini, manakala PKPD di Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni (Papar) serta Taman Wangsa, Jalan Telipok (Kota Kinabalu) tamat esok. 

SabahNewsToday